Pemeriksaan kandungan
Proses mengandung adalah suatu perjalanan yang istimewa dalam proses menjadi seorang ibu. Sepanjang tempoh kandungan iaitu 9 bulan sebelum bersalin, pemeriksaan berkala adalah penting untuk meramal, mencegah dan mengesan komplikasi pada ibu dan bayi dalam kandungan. Ianya adalah penting kerana 15% kandungan akan mengalami komplikasi yang memerlukan rawatan dan rundingan doktor.
Tanda-tanda mengandung termasuk:
-
Tidak datang haid
-
Payudara membengkak
-
Rasa loya dan muntah-muntah
-
Kerap membuang air kecil
-
Sakit belakang dan sakit pada tulang rusuk
-
Cepat letih
Biasanya, anda akan mula berjumpa doktor untuk pemeriksaan kehamilan selepas 12 minggu tidak datang haid. Lawatan pertama ini adalah penting untuk:
-
Pengesahan kandungan (bukan semua kes tidak datang haid disebabkan mengandung).
-
Menentukan sama ada bayi dalam kandungan masih bernyawa.
-
Menentukan usia kehamilan dan menganggar tarikh bersalin.
-
Menentukan masalah awal kandungan seperti masalah keguguran, kehamilan ektopik (embrio menempel dan membesar di luar rahim)dan kandungan anggur (disebabkan kandungan disenyawakan secara abnormal)
Semasa kunjungan berikutnya pemeriksaan seperti berikut akan dijalankan:
| 1) | Menimbang berat badan; ibu mengandung akan mengalami pertambahan berat badan secara purata 0.5kg seminggu dalam tempoh 15 hingga 38 minggu dan jumlah purata pertambahan berat badan adalah 12kg sepanjang tempoh mengandung. |
| 2) | Tekanan darah; untuk mengesan darah tinggi sewaktu tempoh kehamilan. |
| 3) | Mengesan edema (bengkak yang disebabkan oleh bendalir tisu dalam badan); ia biasanya boleh dilihat di buku lali. Jika bertambah teruk, ia merupakan petunjuk kepada masalah lain seperti darah tinggi atau penyakit buah pinggang.Meninggikan kaki di atas bantal semasa tidur boleh memperbaiki keadaan. |
| 4) | Ujian air kencing; untuk mengesan paras glukosa dan protein dalam air kencing. Sekiranya paras gula dan protein tinggi, ini menunjukkan diabetes ketika hamil dan juga pra-eklamsia (darah tinggi yang disebabkan oleh kehamilan) |
| 5) | Imbasan ultrabunyi; untuk melihat tumbesaran fetus dan mengesan sehingga 80% ketaknormalan pada struktur fetus. Imbasan secara lebih terperinci harus dilakukan semasa kandungan berusia 18-20 minggu. |
| 6) | Ujian darah; dilakukan pada minggu ke-18 kandungan untuk memeriksa; |
| (a) Hemoglobin; mengesan sama ada ibu menghidap anemia atau thalassemia minor | |
| (b) Kumpulan darah dan faktor rhesus | |
| (c) Antigen dan antibodi terhadap Hepatitis B;untuk menentukan status pembawa hepatitis B | |
| (d) Human Immunodeficiency Virus (HIV) antibodi; untuk menentukan status pembawa HIV | |
| (e) VDRL; untuk mengesan siflis | |
| 7) | Amniosintesis; disarankan kepada ibu-ibu yang berumur lebih dari 35 tahun atau yang pernah melahirkan anak sindrom Down atau kurang upaya. Ianya dilakukan pada minggu ke-16 kandungan dan boleh mengesan sindrom Down, Patau dan Edward. |
Ibu yang sudah berumur (35 tahun ke atas) perlu berjumpa doktor lebih kerap kerana mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat:
-
Kecacatan kromosom pada fetus
-
Darah tinggi yang disebabkan oleh kandungan
-
Diabetes yang disebabkan oleh kandungan
-
Pendarahan
-
Tumbesaran terbatas dalam rahim (IUGR) - bayi terlalu kecil semasa tempoh kandungan.
Kelahiran
Sekiranya mempunyai tanda-tanda hendak bersalin, anda perlu pergi ke hospital yang telah dirancang. Tanda tanda bersalin termasuk: sakit bersalin, petunjuk (terdapat kemerahan tanda seperti darah dan lendir di permukaaan serviks) dan pemecahan air ketuban.
Sebaik sahaja anda dimasukkan ke wad, kakitangan hospital akan melakukan perkara-perkara berikut:
-
Cardiotocography (CTG); untuk memonitor degupan jantung fetus
-
Enema; untuk membersihkan usus besar
-
Pemeriksaan vagina; untuk memonitor bukaan serviks
-
Memasang titisan intravena; tiub plastik akan dimasukkan ke dalam salur darah. Tiub ini adalah untuk memasukkan ubat jika berlaku kes kecemasan.
Terdapat 3 peringkat proses bersalin:
-
Peringkat pertama
Serviks akan terbuka perlahan-lahan sehingga bukaan berukuran 10 cm bagi membolehkan bayi keluar. Pengecutan otot pada mulanya agak perlahan setiap 10 minit dan bertambah kuat dan kerap. Pada akhir peringkat pertama pengecutan berlaku setiap 2 hingga 3 minit dan berterusan selama 40 saat. Peringkat pertama biasanya mengambil masa lebih kurang 8 jam.
-
Peringkat kedua
Peringkat ini bermula apabila serviks telah terbuka sepenuhnya dan berakhir apabila bayi dilahirkan. Dengan bukaan serviks yang luas, bayi akan bergerak turun sehingga kepalanya muncul di bukaan vagina. Selepas kepala dan bahunya keluar, bayi boleh keluar dengan mudah. Peringkat ini mengambil masa 30 minit. Biasanya episiotomy (potongan di bahagian bawah vagina) dilakukan untuk mengelakkan vagina dari terkoyak.
-
Peringkat ketiga
Selepas bayi dilahirkan, uterus akan terus mengecut dan ia akan dikeluarkan. Peringkat ini mengambil masa lebih kurang 20 minit.
Terdapat 5 jenis kelahiran. Ianya bergantung kepada keadaan kesihatan ibu dan kandungannya.
-
Bersalin spontan melalui vagina (SVD); bayi dilahirkan melalui vagina. Sewaktu dilahirkan, kepala bayi keluar dahulu dan doktor membantu bayi keluar dengan membuat insisi di bahagian bawah vagina.
-
Bersalin sonsang; punggung bayi keluar dahulu semasa dilahirkan.
-
Bersalin menggunakan forsep; Kaedah ini digunakan sekiranya bayi tidak bergerak atau ibu kehabisan tenaga untuk meneran. Forsep digunakan untuk memegang kepala bayi dan kemudian ditarik keluar untuk mempercepatkan kelahiran.
-
Bersalin menggunakan vakum; Kaedah ini digunakan sekiranya bayi tidak bergerak atau ibu kehabisan tenaga untuk meneran. Cawan vakum diletakkan di kepala bayi untuk membolehkan kuasa vakum akan menyedut bayi keluar.
-
Bersalin secara pembedahan (ceasarian section); Kaedah ini digunakan apabila bayi tidak bergerak keluar, ibu tidak mempunyai tenaga untuk meneran, terdapat masalah pada plasenta, saiz bayi terlalu besar atau kedudukan bayi yang tidak normal contohnya bayi berada dalam kedudukan sonsang.
Selepas bersalin
Melahirkan merupakan proses yang memenatkan dan memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Selain itu, perubahan hormon sepanjang tempoh kehamilan juga menyebabkan anda berasa penat dan agak sensitif selepas bersalin terutamanya dalam tempoh 3 hingga 5 hari selepas bersalin. Penjagaan selepas bersalin harus diberi perhatian untuk memastikan proses penyembuhan berjalan lancar:
-
Mengamalkan diet yang sihat; untuk mendapatkan tenaga dan nutrien yang mencukupi
-
Minum banyak air; terutamanya bagi ibu yang menyusukan anak.
-
Rehat secukupnya; tidur 8 jam sehari.
-
Mengamalkan senaman; Ia membantu untuk menenangkan diri dan baik untuk proses penyembuhan badan. Walaubagaimanapun, anda perlu mendapat nasihat dari pengamal perubatan sebelum mula bersenam. Sekiranya anda bersalin melalui pembedahan, anda dinasihatkan bersenam hanya selepas 2 minggu kelahiran.
Sekiranya anda masih berasa tertekan dan tidak sihat berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan nasihat.









0 comments:
Post a Comment